Profil MSDeaf

Ucapan Presiden MSDeaf


Ucapan Presiden MSDeaf


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia atau MSDeaf (Malaysia Deaf Sports Association) adalah badan sukan warga Pekak negara yang diberi mandat dan tanggungjawab melaksanakan program dan aktiviti kesukanan untuk warga Pekak negara.

Sebagai badan sukan yang memainkan peranan utama bagi sukan warga Pekak di negara ini MSDeaf amat prihatin dan berusaha melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti kesukanan untuk warga Pekak negara selaras dengan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 Bahagian lllA bab 9B yang telah diluluskan oleh kerajaan bahawa MSDeaf sebagai Persekutuan Sukan Orang Pekak Kebangsaan bagi Malaysia. Sebagai badan sukan warga Pekak yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia MSDeaf memikul tanggungjawab dalam sukan warga Pekak di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

MSDeaf akan sentiasa berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga agensi-agensi kerajaan lain seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institiut Sukan Negara (ISN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan lain-lain. Selain daripada itu MSDeaf juga mempunyai rakan-rakan sukan lain bagi kerjasama teknikal iaitu Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dan lain-lain persatuan kebangsaan.

Ketika ini MSDeaf fokus kepada pembangunan modal insan sukan warga Pekak bermula di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. Selain dari fokus MSDeaf menganjurkan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) iaitu sukan dwi-tahunan. Tujuan utama penganjuran SOPMA adalah bagi melahirkan atlet-atlet OKU Pekak yang berdisiplin dan berdaya saing dalam sukan serta mencapai taraf antarabangsa seperti yang terkandung dalam Motto MSDeaf iaitu `Menjana Kecemerlangan Atlet Pekak Bertaraf Dunia`.

Harapan MSDeaf agar kerajaan dan masyarakat dapat menyokong usaha-usaha murni MSDeaf bagi memartabatkan sukan warga Pekak negara yang bukan sahaja memberi faedah cukup besar kepada negara malah akan mengharumkan nama negara melalui pencapaian terbaik atlet-atlet OKU Pekak negara di sukan orang Pekak peringkat antarabangsa kelak.

Sekian, Terima Kasih

Kamarzaman Harun
President Malaysia Deaf Sports Association

Rakan Kongsi

Masukkan e-mel anda dan melanggan surat berita kami.

FOLLOW @MSDeaf